Isnin, 8 Mac 2010

RM3,000
BINA PENTAS BERGERAK KELILING BANDAR CHUKAI.
SINAR HARIAN EDISI TERENGGANU. 8 MAC 2010.

CHUKAI – Demi menjayakan perarakan sambutan Maulidur Rasul di daerah ini, Persatuan Sejarah Daerah Kemaman sanggup mengeluarkan peruntukan RM3,000 bagi menyiapkan rekaan pentas bergerak untuk digunakan mengelilingi Bandar Chukai sejauh 6.3 kilometer.Rekaan itu bagi menjayakan program sambutan besar-besaran Maulidur Rasul peringkat Daerah Kemaman yang dijadualkan berlangsung di Padang Astaka, 13 Mac ini. Pengerusinya, Engku Maznah Che Engku Awang berkata, peruntukan itu dikeluarkan bagi menyiapkan rekaan pentas bersaiz 8 x 8 kaki dan berketinggian dua kaki setengah serta menggunakan khidmat lebih 50 ahli Persatuan Sejarah. “Empat model akan digunakan untuk memperagakan pakaian zaman lama dalam bentuk jubah dan purdah. “Mereka akan berselawat dan duduk di pentas utama. Pentas bergerak ini mengelilingi Bandar Chukai, diikuti penyertaan daripada persatuan lain,” katanya. Menurutnya, menang ataupun kalah ditolak ke tepi kerana yang penting adalah menonjolkan semangat ahli persatuan berselawat ke atas junjungan besar Rasulullah. “Buat masa ini, semua yang terbabit sibuk berlatih sebelum tiba hari program,” katanya. Engku Maznah berkata, Persatuan Sejarah tidak pernah ketinggalan menyertai perarakan besar-besaran kerana pihaknya menitik beratkan aspek patriotisme setiap kali menghantar penyertaan. “Tahun lalu, kami juga mengadakan sambutan Bulan Kemerdekaan walaupun ketika itu semua umat Islam berpuasa. “Kali ini, walaupun perarakan akan menempuh cuaca panas, namun kami tetap bersemangat mahu menjayakannya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan